Penyebab Wanita Lebih Banyak Masuk Neraka
Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu perkara yang pasti bahawa Syurga dan Neraka adalah dua tempat
balasan yang Allah s.w.t. ciptakan. Syurga diciptakanNya sebagai tempat
tinggal yang abadi bagi kaum Muslimin dan Muslimat dan Neraka sebagai
tempat tinggal bagi kaum Musyrikin, Musyrikat dan pelaku dosa yang Allah
s.w.t. telah melarang darinya. Setiap Muslim yang mengerti keadaan
Syurga dan Neraka tentunya sangat berharap untuk dapat menjadi penghuni
Syurga dan terhindar jauh dari Neraka, inilah fitrah.
.
Membicarakan tentang Neraka dan penghuninya, yang mana mayoritas
penghuninya adalah wanita kerana sebab-sebab yang akan dijelaskan nanti.
.
Sebelum kita mengenal wanita-wanita penghuni Neraka alangkah baiknya
jika kita menoleh kepada peringatan-peringatan Allah s.w.t. di dalam Al
Quran tentang Neraka dan azab yang tersedia di dalamnya dan perintah
untuk menjaga diri daripadanya.
Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya :
“Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api
Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya
malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah
terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan
apa yang diperintahkan.” (Surah At Tahrim ayat 6)
Imam At-Tobari (rahimahu ‘Llah) menyatakan di dalam tafsirnya :
“Ajarkanlah kepada keluargamu amalan ketaatan yang dapat menjaga diri
mereka dari Neraka.”
Ibnu Abbas r.a juga mentafsirkan ayat ini : “Beramallah kamu dengan
ketaatan kepada Allah, takutlah kamu untuk bermaksiat kepadaNya dan
perintahkan keluarga kamu untuk berzikir, nescaya Allah menyelamatkan
kamu dari Neraka.”
Masih banyak tafsir para sahabat dan ulama lainnya yang menganjurkan
kita untuk menjaga diri dan keluarga dari Neraka dengan mengerjakan
amalan soleh dan menjauhi maksiat kepada Allah s.w.t.
Di dalam surah lainnya Allah s.w.t. berfirmanyang bermaksud :
“Peliharalah dirimu dari Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu
yang disediakan bagi orang-orang kafir.” (Surah Al Baqarah ayat 24)
Sahabat yang dimuliakan, Begitu pula dengan ayat-ayat lainnya yang juga
menjelaskan keadaan Neraka dan perintah untuk menjaga diri daripadanya.
Kedahsyatan dan kengerian Neraka juga dinyatakan Rasulullah s.a.w di
dalam hadis yang sahih dari Abu Hurairah r.a bahawasanya baginda
bersabdayang bermaksud :
“Api kamu yang dinyalakan oleh anak cucu Adam ini hanyalah satu bahagian dari 70 bahagian Neraka Jahanam.”
Jikalau api dunia saja dapat menghanguskan tubuh kita, bagaimana dengan
api Neraka yang panasnya 70 kali ganda dibandingkan dengan panas api
dunia? Semoga Allah S.W.T. menyelamatkan kita dari api Neraka.
WANITA PENGHUNI NERAKA
Mengenai hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya
adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka
aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat
Al- Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah
s.a.w tentang penghuni Syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir
miskin) dan Neraka yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi
hadis ini tidak menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan mereka
dimasukkan ke dalam Neraka dan menjadi majoriti penghuninya, namun
demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam hadis lainnya.
Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para
sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang ,
Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat
Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya:
“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan
seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum
wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai
Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.”
Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda
menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap
kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang
di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu
pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak
pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam
Al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda :
“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka
telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan
berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka
seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak
mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak
perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Dari Imran bin Husain dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya penduduk Syurga yang paling sedikit adalah wanita.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Imam Qurthubi (rahimahu ‘Llah) menjelaskan maksud hadis di atas dengan pernyataannya :
“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk Syurga adalah hawa nafsu
yang mendominasi pada diri mereka, kecondongan mereka kepada
kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya
akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan
kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.
Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum
lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka,
kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka
dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap
agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat.”
(Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tazkirah halaman 369)
Jika kita perhatikan keterangan dan hadith di atas dengan insaf, nescaya
kita akan dapati beberapa sebab yang menjerumuskan kaum wanita ke dalam
Neraka bahkan menjadi majoriti penghuniya dan yang menyebabkan mereka
menjadi golongan minoriti dari penghuni Syurga.
1. Kufur Terhadap Suami dan Kebaikan-Kebaikannya :
Rasulullah s.a.w menjelaskan hal ini pada sabda baginda di atas tadi.
Kekufuran seumpama ini terlalu banyak kita dapati di tengah-tengah
keluarga kaum muslimin, iaitu seorang isteri yang mengingkari
kebaikan-kebaikan suaminya selama sekian waktu yang panjang hanya dengan
sikap suami yang tidak sesuai dengan kehendak isteri sebagaimana kata
pepatah,’panas setahun dihapus oleh hujan sehari’. Padahal yang harus
dilakukan oleh seorang isteri ialah bersyukur terhadap apa yang
diberikan suaminya, janganlah ia mengkufuri kebaikan-kebaikan suami
kerana Allah s.w.t. tidak akan melihat isteri seumpama ini sebagaimana
dijelaskan Rasulullah s.a.w :
“Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.”
(Hadis Riwayat Nasaie)
Hadis di atas adalah peringatan keras bagi kaum wanita muslimah yang
menginginkan keredhaan Allah s.w.t. dan SyurgaNya. Maka tidak layaklah
bagi wanita yang mengharapkan akhirat untuk mengkufuri kebaikan-kebaikan
suaminya dan nikmat-nikmat yang diberikannya atau meminta dan banyak
mengadukan hal-hal kekurangan yang tidak sepatutnya untuk
diperbesar-besarkan.
Jika sedemikian keadaannya, maka sangat tidak sesuai sekali jika wanita
yang kufur terhadap suaminya serta kebaikan-kebaikannya dikatakan
Rasulullah s.a.w sebagai majoriti kaum yang masuk ke dalam Neraka
walaupun mereka tidak kekal didalamnya.
Cukup sekiranya isteri-isteri Rasulullah s.a.w dan para sohabiyah
sebagai suri tauladan bagi isteri-isteri kaum muslimin dalam mensyukuri
kebaikan-kebaikan yang diberikan suaminya kepadanya.
2. Durhaka Terhadap Suami
Kedurhakaan yang dilakukan seorang isteri terhadap suaminya pada umumnya
berupa tiga bentuk kedurhakaan yang sering kita jumpai pada kehidupan
masyarakat kaum Muslimin. Tiga bentuk kedurhakaan itu adalah :
1. Derhaka dengan ucapan.
2. Derhaka dengan perbuatan.
3. Derhaka dengan ucapan dan perbuatan.
Bentuk pertama ialah seorang isteri yang biasanya berucap dan bersikap
baik kepada suaminya serta segera memenuhi panggilannya, tiba-tiba
berubah sikap dengan berbicara kasar dan tidak segera memenuhi panggilan
suaminya. Atau ia memenuhinya tetapi dengan wajah yang menunjukkan rasa
tidak senang atau lambat mendatangi suaminya. Kederhakaan seperti ini
sering dilakukan seorang isteri ketika ia lupa atau memang sengaja
melupakan ancaman-ancaman Allah terhadap sikap ini.
Termasuk bentuk kederhakaan ini ialah apabila seorang isteri
membicarakan perbuatan suami yang tidak ia sukai kepada teman-teman atau
keluarganya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara’. Atau ia menuduh
suaminya dengan tuduhan-tuduhan yang bermaksud untuk menjatuh dan
merosak kehormatannya sehingga suaminya dipandang hina di mata orang
lain. Begitu juga apabila seorang isteri meminta talak atau di khulu’
(dicerai) tanpa sebab syar’i. Atau ia mendakwa telah dianiaya atau
dizalimi suaminya atau lain-lainnya.
Permintaan cerai biasanya di awali dengan pertengkaran antara suami dan
isteri kerana ketidakpuasan isteri terhadap kebaikan dan usaha suami.
Atau yang lebih menyedihkan lagi bila hal itu dilakukannya kerana
suaminya berusaha mengamalkan syari’at-syari’at Allah s.w.t. dan
sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Sungguh hina sekali apa yang dilakukan
isteri seperti ini terhadap suaminya.
Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w :
“Wanita mana saja yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang
syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” (Hadis Riwayat Abu
Daud dan At-Tirmizi )
Bentuk kederhakaan kedua yang dilakukan para isteri terjadi apabila
seorang isteri tidak mahu melayani keperluan batiniyah suaminya atau
bermuka masam ketika melayaninya atau menghindari suami ketika hendak
disentuh dan dicium atau menutup pintu ketika suami hendak mendatanginya
dan yang seumpamanya.
Termasuk dari bentuk ini ialah apabila seorang isteri keluar rumah tanpa
izin suaminya walaupun hanya untuk mengunjungi kedua orang tuanya.
Tindakan ini sebenarnya adalah seakan-akan seorang isteri lari dari
rumah suaminya tanpa sebab syar’ie. Demikian pula jika isteri enggan
untuk bersafar (melakukan perjalanan) bersama suaminya, mengkhianati
suami dan hartanya, membuka dan menampakkan apa yang seharusnya ditutupi
dari anggota tubuhnya (aurat), menerima tetamu tanpa izin suaminya,
berjalan di tempat umum dan pasar-pasar tanpa mahram, bersenda gurau
atau berbicara lemah-lembut penuh mesra kepada lelaki yang bukan
mahramnya dan yang lain-lain.
Begiti juga apabila seorang isteri tidak mau berdandan atau
mempercantikkan diri untuk suaminya padahal suaminya menginginkan
hal-hal itu, melakukan puasa sunat tanpa izin suaminya, meninggalkan
hak-hak Allah seperti solat atau puasa Ramadhan.
Maka setiap isteri yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti tersebut
adalah isteri yang durhaka terhadap suami dan telah melakukan maksiat
kepada Allah s.w.t. Jika kedua bentuk kederhakaan ini dilakukan
sekaligus oleh seorang isteri maka ia dikatakan sebagai isteri yang
derhaka dengan ucapan dan perbuatannya.
Sungguh rugi wanita yang melakukan kederhakaan ini. Mereka lebih memilih
jalan ke Neraka daripada jalan ke Syurga kerana memang biasanya wanita
yang melakukan kederhakaan-kederhakaan ini tergoda oleh angan-angan dan
kesenangan dunia yang menipu.
Jalan menuju Syurga tidaklah dihiasi dengan bunga-bunga yang indah,
melainkan dipenuhi dengan rintangan-rintangan yang berat untuk dilalui
oleh manusia kecuali orang-orang yang diberi ketegaran iman oleh Allah.
Tetapi ingatlah di hujung jalan ini ada Syurga yang Allah sediakan untuk
hamba-hambaNya yang sabar menempuhnya.
Ketahuilah pula bahawa jalan menuju ke Neraka memang indah, penuh dengan
syahwat dan kesenangan dunia yang setiap manusia tertarik untuk
menjalaninya. Tetapi ingat dan sedarlah bahawa Neraka menanti
orang-orang yang menjalani jalan ini dan tidak mahu berpaling darinya
semasa ia hidup di dunia.
Hanya wanita yang bijaksanalah yang mahu bertaubat kepada Allah s.w.t.
dan meminta maaf kepada suaminya dari kederhakaan-kederhakaan yang
pernah ia lakukan. Ia akan kembali berusaha mencintai suaminya dan sabar
dalam mentaati perintahnya.
3. Tabarruj
Yang dimaksud dengan tabarruj ialah seorang wanita yang menampakkan
perhiasannya dan keindahan tubuhnya serta apa-apa yang wajib ditutupnya
dari pandangan lelaki bukan mahramnya.
Hal ini kita dapati pada sabda Rasulullah s.a.w tentang wanita-wanita
yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang disebabkan pakaian yang mereka
pakai tipisnya, berseluar ketat menampakkan bahagian-bahagian tubuh
tertentu, tidak menutup aurat sepertimana yang berlaku di dalam
masyarakat kita. Sebagaimana yang dihuraikan oleh Ibnul ‘Abdil Barr
rahimahu ‘Llah ketika menjelaskan sabda Rasulullah s.a.w tersebut. Ibnul
‘Abdil Barr menyatakan :
“Wanita-wanita yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w adalah yang memakai
pakaian yang tipis yang menampakkan tubuhnya atapun yang menunjukkan
bentuk tubuhnya dan tidak menutupinya, maka mereka adalah wanita-wanita
yang berpakaian pada zahirnya dan telanjang pada hakikatnya … .”
Mereka adalah wanita-wanita yang suka dan amat gembira apabila berjaya
menampakkan perhiasan mereka, padahal Allah s.w.t. telah melarang hal
ini dalam firmanNya yang bermkasud :
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur ayat 310)
Imam Az-Zahabi rahimahu ‘Llah menyatakan di dalam kitab Al Kabair :
“Termasuk dari perbuatan-perbuatan yang menyebabkan mereka dilaknat
ialah menampakkan hiasan emas dan permata yang dipakai oleh mereka,
memakai minyak wangi dengan yang seumpanya jika mereka keluar rumah … .”
Dengan perbuatan seperti ini bererti mereka secara tidak langsung
menyeret kaum lelaki ke dalam Neraka, kerana pada diri kaum wanita
terdapat daya tarik syahwat yang sangat kuat yang dapat menggoncang
keimanan yang kukuh sekalipun, apa lagi iman yang lemah yang tidak
dikuatkan dengan ilmu Al Qur’an dan As Sunnah. Rasulullah sendiri
menyatakan di dalam hadis yang sahih bahwa :
“ Fitnah yang paling besar yang paling ditakutkan atas kaum lelaki adalah fitnahnya wanita.”
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sejarah sudah membuktikan bahawa betapa banyak tokoh-tokoh dunia yang
tidak beriman kepada Allah s.w.t. hancur hanya disebabkan pujuk-rayu
wanita. Bahkan berapa banyak persaudaraan di antara kaum muslimin
terputus hanya disebabkan wanita. Berapa banyak anak yang menderhaka
kepada ibunya demi mencari cinta seorang wanita, dan masih banyak lagi
gejala-gejala lainnya yang dapat membuktikan bahawa wanita seumpama
mereka ini memang layak untuk tidak mendapatkan wanginya Syurga.
Hanya dengan ucapan dan rayuan seorang wanita mampu menjerumuskan kaum
lelaki ke dalam lembah dosa yang hina, terlebih lagi jika mereka
bersolek dan menampakkan tubuh mereka kepada kaum lelaki. Tidak
menghairankan lagi jika di sana-sini terjadi jenayah dan kezaliman
terhadap kaum wanita, kerana yang demikian adalah hasil perbuatan mereka
sendiri.
Hindarilah tabarruj dan berhiaslah dengan pakaian yang disaran oleh
Islam yang akan menyelamatkan kaum wanita dari dosa di dunia ini dan
azab di akhirat kelak. Jangan diikut pemikiran sekular pemimpin-pemimpin
wanita Islam yang cuba mempertikaikan hukum-hukum Allah dan
mempertikaikan hak-hak wanita yang telah dinyatakan di dalam al-Qur’an.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan tinggallah kamu di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu bertabarruj
dengan tabarrujnya orang-orang jahiliyyah pertama dahulu.” (Surah Al
Ahzab ayat 33)
Masih banyak sebab-sebab lainnya yang menyebabkan wanita menjadi
penghuni majoriti Neraka. Tetapi cukuplah dengan tiga sebab ini sahaja
yang dijelaskan di sini kerana memang tiga perkara inilah yang sering
kita dapati di dalam kehidupan masyarakat kita.
Rasulullah s.a.w pernah menerangkan satu amalan yang dapat menyelamatkan
kaum wanita dari azab Neraka. Ketika beginda selesai berkhutbah hari
raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan
anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita,
baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat
kemudian baginda bersabda :
“Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Jahanam!”
Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita
lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya : “Mengapa
demikian, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu kufur terhadap suami!” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)
Bersedekahlah kerana sedekah adalah satu jalan untuk menyelamatkan kaum
wanita dari azab Neraka. Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita dari
azab-Nya. Amin.
Friday, December 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment